10 Amalan TerBALIK
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan  menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan  dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut  dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah  dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan  apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1.  Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati  selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan  seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di  mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk  keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.  Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia  makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah  mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka  termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta  peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut  Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin)  orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam).  Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi  makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula  salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita  patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa  kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah  pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita  berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di  rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak  berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau  menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak  makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,  sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang  dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5.  Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat  malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah  seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6.  Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang  berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta  perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di  bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya  perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan  kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan  membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah  tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah  kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak  bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita  mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang  kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas  tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca  Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca  Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup  dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru  Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar  tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang  jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus  periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang  malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi  kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak  hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak  malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan  dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada  dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di  rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias  untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang  terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Kita  cukup teruja untuk meng’forward’ kan sms atau emel dalam bentuk gossip2  artis kepada kawan2.  Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar  dan boleh menjatuhkan maruah org lain.  Tapi kenapa susah sangat nak  forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??…..   Cukup dengan  contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat  sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita  menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah  mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang  menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: “Sampaikanlah  dariku walaupun satu ayat.” (Riwayat Bukhari)Semoga dapat kita sama-sama  fikir-fikirkan dan renung-renungkan, tergolongkah kita di dalam  golongan yang terbalik ini?
 
 






Tiada ulasan:
Catat Ulasan